13 Mei 1969 - Sebuah Intrepretasi Sejarah Melangkau Masa

Sejarah tragedi berdarah 13 Mei 1969 bermula apabila keputusan pilihanraya diumumkan pada 11 Mei 1969. Buat pertama kalinya, Parti Perikatan pimpinan YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj gagal mendapat kemenangan majoriti 2/3 dalam parlimen dan kehilangan dua buah negeri iaitu Kelantan dan Pulau Pinang.

Jalan Hale (Kini Jalan Raja Abdullah, berdekatan dgn bangunan UNIKL dan Menara DBKL 2, Kg Baru)

Keadaan semakin meruncing di negeri Perak dan juga Selangor apabila kedua-dua pihak sama ada kerajaan dan pembangkang tidak mempunyai majoriti yang cukup bagi menubuhkan kerajaan negeri.

Walau bagaimanapun, di Selangor, Parti Perikatan berjaya mendapat mandat untuk memerintah apabila satu-satunya calon bebas telah menyertai parti perikatan untuk sama-sama menubuhkan kerajaan.

Kebakaran sekitar Jalan Chow Kit akibat peristiwa 13 Mei 1969

Bagi meraikan kejayaan besar yang diperoleh oleh pihak pembangkang sejak merdeka, pihak pembangkang mengadakan perarakan untuk meraikannya pada 12 Mei 1969 dengan izin polis ketika itu.

Dr. Tan Chee Khoon

Penyokong parti pembangkang, Democracy Action Party (DAP) dan GERAKAN yang kebanyakannya kaum India dan Cina berarak dan dipimpin oleh Ikon dalam parti Gerakan, Dr. Tan Chee Khoon bermula daripada klinik dan pejabat politiknya yang terletak di Jalan Batu (Kini dikenali sebagai Jalan Tunku Abdul Rahman) di tengah Kuala Lumpur.Dalam memoir '13 Mei - Sebelum dan Selepas' oleh Mantan Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj menyatakan bahawa perhimpunan berlesen itu pada asalnya merupakan perarakan aman tetapi malangnya bertukar menjadi huru hara akibat sentimen perkauman dan kepartian yang menebal.

Klinik ini merupakan klinik tempat bermula perarakan bagi penyokong pembangkang yang terletak di Jalan Tunku Abdul Rahman (dahulu Jalan Batu)

"Dalam keghairahan menyambut kemenangan melebihi batasannya dan akibatnya keadaan tidak terkawal. Pihak komunis telah mengambil kesempatan untuk memonopoli keadaan," ujar bekas Perdana Menteri itu lagi.

Perarakan itu telah bertukar laluannya ke Jalan Campbell (kini Jalan Dang Wangi) dan Jalan Hale (kini Jalan Raja Abdullah) menghala ke kkawasan Kampung Baru yang majoritinya orang Melayu dan melalui rumah Menteri Besar Selangor ketika itu, Harun Idris.

"Mereka berbaris membawa penyapu, dan menyatakan bahawa kaum Melayu akan dihapuskan dari tanah ini. Mereka membawa penyapu untuk menghalau Datuk Harun keluar daripada rumahnya," kata seorang saksi pada ketika itu berusia 18 tahun.

Rumah Menteri Besar Selangor, Datuk Haron berhadapan Jalan Raja Muda Abdul Aziz, Kuala Lumpur (bersebelahan Bangunan Yayasan Selangor), tempat dimana orang Melayu berkumpul untuk perarakan balas.

"Tindak tanduk mereka yang menunjuk-nunjuk kekuasaan, menjerit-jerit gelaran menghina Melayu dalam kawasan keramat orang Melayu telah menimbulkan kemarahan orang Melayu Kampung Baru," katanya lagi.

Perarakan itu reda tetapi tidak berakhir di situ. Oleh kerana berang dengan tindakan melampau penyokong pembangkang, orang Melayu merancang untuk mengadakan perarakan pada keesokan harinya.

Rumah Menteri Besar Selangor (kini tapaknya dijadikan projek pembinaan kondominum mewah bersebelahan bangunan Yayasan Selangor), Datuk Haron menjadi pusat untuk operasi ini.

Batang dan Parang

Menurut saksi, orang Melayu daripada sekitar Selangor dan Kuala Lumpur berkumpul sekitar rumah Datuk Harun dengan membawa batang dan juga parang sebagai senjata.

Berita melaporkan bahawa orang Cina telah menyerang dua orang Melayu di Setapak. Bermula dari detik itulah, orang Melayu marah dan mula berarak sekitar jam 6 petang menuju ke Jalan Tuanku Abdul Rahman.

Peta berlakunya tragedi 13 Mei 1969...

Di persimpangan utama yang menghubungkan Jalan Tunku Abdul Rahman dan Jalan Raja Muda Abdul Aziz (dibawah stesen KL Monorel), pertempuran bermula antara orang Melayu dan Pemuda Kaum India dan Cina.

Perniagaan-perniagaan yang ada disekitar jalan itu ditutup berikutan berlakunay pertempuran itu termasuklah Batu Road Supermarket (masih ada lagi di Jalan Tunku Abdul Rahman) dan Globe Silk Store (telah gulung tikar pada hujung tahun 90-an).

Perarakan secara beransur-ansur bergerak melepasi Bangunan UMNO lama dimana kini terdapat Hospital milik MAIWP di Jalan Ipoh dan menuju ke arah Panggung Wayang Odeon dimana dipercayai banyak orang melayu telah dikelar orang Cina di sana.

Malam itu juga, terdapat laporan yang menyatakan bahawa berlaku juga rusuhan perkauman di kawasan perniagaan utama di Setapak, Gombak dan Kampung Pandan sehingga terjejas teruk.

Pada malam 13 Mei itu, Tunku Abdul Rahman ke udara di corong radio untuk mengumumkan perintah darurat berikutan rusuhan kaum yang melampau berlaku di beberapa tempat di Kuala Lumpur dan Selangor.

Menurut angka rasmi korban pada tarikh 14 Mei, 196 orang ditemui mati tetapi secara tidak rasminya dianggarkan hampir 1000 ditemui mati.

Pada 16 Mei 1969, Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) telah ditubuhkan dengan perkenan DYMM Yang DiPertuan Agong ketika itu dan diketuai oleh YAB Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdul Razak Hussein untuk mentadbir secara sementara berikutan Parlimen pada waktu itu digantung akibat darurat dan Tun Dr. Ismail Abdul Rahman dilantik sebagai Menteri Dalam Negeri pada waktu itu.

Dua tahun kemudian, MAGERAN dibubarkan dan Parlimen dihidupkan semula dibawah kepimpinan Tun Abdul Razak Hussein yang menggantikan Tunku Abdul Rahman yang bersara.

Dasar Ekonomi Baru diperkenalkan pada tahun 1971 untuk menyeimbangkan taraf ekonomi kaum bumiputera yang jauh ketinggalan akibat dasar pemerintahan British sebelum Merdeka.

Keratan Akhbar sejurus selepas pilihanraya umum
Keratan akhbar selepas tragedi 13 Mei 1969, menyatakan bilangan yang terkorban dalam tragedi ini.

Bekas Tapak Rumah Menteri Besar Selangor yang kini telah didirikan kondominum mewah, kelihatan Bangunan Yayasan Selangor.


Persimpangan antara Jalan Tunku Abdul Rahman dan Jalan Raja Muda Abdul Aziz, medan pertempuran pertama tragedi 13 Mei 1969



Bangunan yang diubahsuai daripada Panggung Odeon berhadapan Kompleks Campbell di Jalan Dang Wangi (dulu Jalan Campbell).

Sepanjang kajian saya, ada beberapa fakta kebetulan telah berjaya saya cungkil;

1. Menteri Besar Selangor, Datuk Harun Idris dan Ahli Parlimen Batu, Dr. Tan Chee Khoon yang menjadi orang utama dalam peristiwa ini merupakan bekas penuntut dari sekolah yang sama, Victoria Institution.

2. Fakta lain menyatakan bahawa tragedi 13 Mei 1969 adalah satu gerakan bagi mendesak Perdana Menteri ketika itu, Tunku Abdul Rahman untuk meletakkan jawatan.

3. Bangunan penting sekitar kejadian 13 Mei 1969 di Jalan Tunku Abdul Rahman, Jalan Raja Muda Abdul Aziz dan Jalan Dang Wangi semuanya telah diubahsuai. Ia merupakan satu kerugian besar kerana bangunan ini merupakan warisan sejarah Malaysia. Bangunan yang telah diubahsuai adalah Panggung Odeon di mana berlakunya peristiwa pembunuhan Orang Melayu, bangunan yang dirobohkan adalah Rumah Menteri Besar Selangor di Jalan Raja Muda Abdul Aziz di mana tempat orang Melayu berkumpul yang telah dijadikan projek kondominium mewah. Satu-satunya tempat yang kekal adalah Klinik milik Dr. Tan Chee Khoon di Jalan Tunku Abdul Rahman yang dikenali Klinik TAR, tempat dimana perarakan penyokong pembangkang bermula...

4. Menurut satu sumber yang lain, Kerajaan British memberi masa kepada Persekutuan Tanah Melayu yang baru merdeka selama 10 tahun untuk memastikan keadaan negara aman dan damai tanpa sebarang pergolakan ketika itu. Seandainya berlaku pergolakn pada tempoh itu, maka British akan menduduki semula Persekutuan Tanah Melayu. Jika dilihat dari sudut ini, kejadian 13 Mei 1969 berlaku dua tahun selepas perjanjian itu.

Kesimpulan

Seharusnya, kita patut mengambil iktibar atas sejarah masa lalu. Keharmonian kaum penting bagi menjamin kehidupan yang aman damai, tenteram dan juga bermuafakat. Sikap kepartian yang menebal mengakibatkan perpecahan yang kritikal bagi kaum di Malaysia dan hari ini seolah-olah ingin kembali ke zaman itu. Sikap berprasangka buruk seharus dicampakkan jauh supaya kita mampu menerima apa yang kita ada dengan baik. Warisan sejarah seharusnya dipelihara supaya generasi akan datang dapat belajar isi sejarah yang terpapar pada warisan tersebut.

Sumber :

1. Malaysia Insider
2. Wikipedia - Sejarah Malaysia
3. Teks Hubungan Etnik, UiTM
4. VI webpage

Wan Muhammad Idham Wan Mahdi
UTM IC, Kuala Lumpur

0 comments:

Catat Ulasan